SUDAHKAH anda berdakapan dengan pasangan anda hari ini? Dalam sehari berapa kali sebenarnya anda berdakapan dengan pasangan? Atau langsung tidak pernah.
Memberikan dakapan kepada pasangan sama ada secara spontan atau berbentuk penghargaan sebenarnya memberikan satu sentuhan fizikal yang paling rapat di antara anda berdua.
Pakar terapi kekeluargaan, Virginia Satir dalam artikel yang ditulis oleh Parveen Chopra berkata, setiap pasangan memerlukan sekurang-kurangnya empat dakapan sehari untuk meneruskan kelangsungan hidup, lapan dakapan sehari untuk memperbaiki rasa kejiwaan dalam diri dan 12 dakapan sehari untuk cinta terus mekar.
"Dua belas dakapan sehari?" Mungkin itu terlalu banyak tetapi sebenarnya amalan untuk memeluk pasangan bukanlah sesuatu yang sukar - semudah memakai tali pinggang keledar, tidak sampai pun lima saat.
Anda hanya perlu lingkarkan tangan kepada tubuh pasangan anda, erat dan mesra dan rasailah perbezaan perasaan ketika anda berdua sedang berdakapan.
Bukanlah satu yang keterlaluan sekiranya anda mengamalkan tatacara berdakapan dengan pasangan. Cuma lakukan dengan tertib, jangan pula keterlaluan ketika di khalayak awam.
Mungkin boleh lakukannya pada waktu pagi sebelum anda berpisah ke tempat kerja, ketika bertemu pada waktu makan tengah hari, pada minum petang, sebelum makan malam atau selepas makan malam (menyatakan keterujaan anda memakan makanan hasil masakan isteri anda).
Anda juga boleh berdakapan seketika ketika sedang membasuh pinggan bersama-sama. Mungkin ketika menonton rancangan kegemaran anda berdua, sebelum waktu tidur dan ketika waktu pagi apabila bangun dari tidur.
Mungkin ada yang mengatakan ini sudah keterlaluan. Pasangan tidak akan berdakapan terlalu banyak dalam sehari seperti mana pasangan pengantin yang baru berkahwin.
Malah mungkin ada yang menggambarkan perbuatan itu akan menjadi satu rutin yang memenatkan. Kita mungkin setuju dengan pandangan ini, jadi kita kurangkan jumlah dakapan.
Seorang doktor dari United Kingdom, Dr. Miriam Stoppard berkata, rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah sekiranya anda mendakap pasangan sekurang-kurangnya empat kali sehari.
Sebenarnya, berapa kali pun anda mendakap pasangan, dakapan sebenarnya merupakan satu penawar bagi mengubati hubungan suami isteri yang sedang 'sakit', menjadi penggalak kepada jiwa untuk meneruskan hubungan cinta antara suami dan isteri.
Pakar sains telah menggariskan, sejak berabad lalu sentuhan menerusi dakapan mengundang kepada kepercayaan dan kejujuran individu.
Apabila anda mendakap pasangan secara tidak langsung anda sebenarnya sedang melakukan komunikasi tanpa suara sambil menyalurkan perasaan kepada si dia.
Antara perasaan yang anda ingin sampaikan - dialah insan yang paling penting dalam hidupnya, dialah insan yang paling istimewa dan sebagainya.
Dakapan boleh mengembalikan pemikiran pasangan ke arah yang positif, mengurangkan stres, menstabilkan tekanan dan rasa kurang keyakinan.
Lagipun perbuatan ini percuma dan mudah dilakukan.
Namun, jangan disalahertikan dakapan sebagai dorongan untuk melakukan seks.
Sebagai contoh, jangan anda merasakan, kemahuan isteri anda untuk minta dipeluk atau didakap sebagai satu dorongan permintaan seks.
Golongan ini sebenarnya memerlukan dakapan di saat mereka merasakan kesedihan dan rasa tidak selamat dan perlukan jaminan anda sebagai seorang suami.
Perasaan cinta sebenarnya tidak diukur sebanyak mana anda menyentuh pasangan anda, tetapi berapa kali anda cuba merapatkan diri anda dengan pasangan.
Sumber : Utusan Malaysia
0 comments:
Assalamualaikum.
Sila Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
SATU pun jadi lah ! hehe.