UTUSAN HARI NI....

Dr. Mahathir terima anugerah Master Foreign Going

Dr. Mahathir Mohamad bersama sebahagian daripada kapten-kapten MHAPA Pelabuhan Klang selepas beliau dianugerahkan Master Foreign Going yang membawa gelaran Kapten di Shah Alam, malam tadi.
SHAH ALAM 8 Mei - Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini dianugerahkan pangkat 'Master Foreign Going' yang membawa gelaran Kapten bagi mengiktiraf jasa-jasa beliau terhadap kemajuan dalam bidang maritim di negara ini.
Anugerah tersebut diberikan oleh Persatuan Malim-malim Pelabuhan Malaysia (MHAPA) dalam Majlis Makan Malam Mutiara Negara Kilauan Bangsa di sini.
Bekas Perdana Menteri berkata, malim pelabuhan mempunyai peranan penting dalam proses navigasi kapal dan menjadi individu pertama yang boleh menghidu sebarang kemungkinan tidak baik di kawasan perairan negara.
''Mereka merupakan mata dan telinga kerajaan dalam aspek pengekalan, perlindungan dan pemeliharaan kedaulatan perairan negara, kepentingan dan keselamatan pelayaran, sumber-sumber semula jadi marin dan alam sekitar terutama di pelabuhan utama negara, Pelabuhan Klang.
''Ini bagi menjamin keselamatan pelabuhan dan adalah wajib dari semasa ke semasa, kerajaan dan seluruh industri maritim negara meningkatkan keselamatan pemaliman," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Mutiara Negara Kilauan Bangsa malam ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Laut, Kapten Datuk Ahmad Othman dan Presiden MHAPA, Kapten Mahadhir Che Ismail.
Dr. Mahathir yang juga penaung kehormat MHAPA berkata, tindakan awal yang dilakukan oleh para malim pelabuhan akan menyelamatkan persekitaran laut, semua pengguna pelabuhan, perdagangan, industri dan masyarakat tempatan.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan syabas kepada MHAPA kerana berjaya menubuhkan sebuah persatuan yang menggabungkan para malim dari seluruh pelabuhan di negara ini.
''Saya harap agar persatuan ini akan diiktiraf oleh kerajaan sebagai sebuah entiti yang relevan dalam dunia maritim dan pemaliman khasnya.
''Sewajarnya kini secara rasmi Malaysia mempunyai perwakilan malim bagi mewakili negara menyertai Persatuan Malim Antarabangsa (IMPA) yang akan diwakili oleh MHAPA," kata beliau.
Sementara itu dalam sidang akhbarnya, Dr. Mahathir berkata, industri maritim negara ini sudah mencapai tahap antarabangsa dan apa yang diperlukan sekarang ialah pengiktirafan daripada masyarakat dunia.
Kata beliau, Malaysia mempunyai pelabuhan-pelabuhan besar hingga mampu memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
''Sekarang malim kita sudah mampu mengendalikan kapal seberat 80,000 tan. Kita juga mempunyai pelabuhan yang besar kalau hendak dibandingkan dengan negara maju.
''Kadang-kadang orang tidak tahu kita mampu kendali banyak kontena di Pelabuhan Klang Utara dan Barat iaitu sebanyak 13 juta kontena.
''15 tahun lalu apabila ditanya pelabuhan kita hanya mampu kendalikan satu juta kontena berbanding Singapura sebanyak 12 juta tetapi sekarang kita semakin popular," kata beliau.

0 comments:

Assalamualaikum.
Sila Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
SATU pun jadi lah ! hehe.

 
Copyright © MaSZiE | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in